Wednesday, 27 February 2013

Sambungan Darihal Islam


Assalamualaikumwarahmatullahhiwabarakatuh,

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekalian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.
Perihal rukun iman dan rukun Islam ini datangnya daripada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari ‘Umar Ibn al-Khattab.  Saya akan menulis terjemahannya sahaja  bagi hadis ini kerana hadis ini sangat panjang. Saya perolehi hadis ini daripada buku “Hadis 40” yang disusun oleh Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya bin Sharif Al-Nawawi  dan diterjemahkan dan disyarahkan oleh Al-Ustadh Mustafa ‘Abdul Rahman yang diterbitkan oleh Dewan Pustaka Fajar(DPF). Hadis ini merupakan hadis yang ke-2 daripada 40 hadis di dalam buku ini. Tujuan saya menulis hadis ini adalah untuk menyokong teks sebelum ini dan mendedahkan dari mana rukun iman dan rukun Islam ini datang. Sebagai nasihat kepada tuan/puan yang membaca blog ini, saya ingin memberitahu bahawa setiap perkara yang kita ketahui di dalam agama ini haruslah disokong oleh sumber-sumber yang utama dan paling kuat iaitu Al-Quran dan hadis-hadis sahih. Tidak memadai apabila kita berhujah dengan berkata “ustaz saya kata”, “ustaz dalam TV kata”,  “saya dengar orang kata” dan seumpamanya lagi kerana hujah sedemikian mudah dipatahkan umpama ranting-ranting pokok. Apabila kita berhujah dengan isi-isi  di dalam Al-Quran dan nas-nas yang sahih, orang yang mendengar hujah kita pasti akan bersetuju dan tidak mampu untuk menidakkan hujah kita tersebut. Baiklah,sekarang kita ke terjemahannya.

Terjemahan hadis ke-2:
Dari ‘Umar R.A juga katanya: Pada suatu hari sedang kami duduk di sisi Rasulullah S.A.W tiba-tiba datang kepada kami seorang lelaki yang bersangatan putih kainnya, bersangatan hitam rambutnya, tidaklah kelihatan atasnya tanda-tanda orang yang sedang dalam perjalanan dan tidak seorang pun daripada kami yang mengenalinya sehingga ia duduk berdekatan kepada Nabi S.A.W lalu ia menyandarkan kedua lututnya kepada dua lutut Nabi S.A.W dan meletakkan kedua telapak tangannya ke atas dua paha Nabi S.A.W. Kemudian ia berkata: Hai Muhammad! Khabarkanlah kepadaku darihal Islam. Maka Rasulullah S.A.W menjawab: Islam itu ialah bahawa engkau mengaku tiada Tuhan melainkan Allah , dan bahawasanya Muhammad itu Pesuruh Allah, dan engkau mendirikan sembahyang, dan engkau keluarkan zakat, dan engkau puasa Ramadhan, dan engkau mengerjakan haji di Baitullah jika engkau sanggup pergi kepadanya. Ia berkata: Benarlah engkau! Maka kami pun tercengang kerana ia yang bertanya dan ia pula yang membenarkannya. Katanya lagi: Maka khabarkan kepadaku darihal Iman. Rasulullah S.A.W menjawab: Iman itu ialah bahawa engkau beriman kepada Allah dan MalaikatNya dan segala kitabNya dan para RasulNya dan hari kemudian dan engkau beriman kepada takdir baikNYa dan jahatNya. Ia berkata:Benarlah engkau! Kemudian ia bertanya lagi: Maka sekarang khabarkanlah kepadaku darihal Ihsan. Rasulullah S.A.W menjawab: Ihsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya, tetapi jika engkau tidak melihatNya maka sesungguhnya Ia melihat engkau. Akhirnya ia berkata(meneruskan pertanyaan lagi): Maka khabarkanlah kepadaku darihal hari Qiamat. Rasulullah S.A.W menjawab: Tidaklah yang datang daripadanya lebih tahu daripada orang yang bertanya. Kalau begitu, katanya, khabarkan kepadaku dari tanda-tandanya sahaja. Rasulullah S.A.W menjawab: Tanda-tandanya itu ialah bila hamba-hamba telah melahirkan tuannya dan engkau lihat orang-orang yang tidak berkasut, tidak berpakaian, miskin, pengembala kambing(berbangga-bangga) menegakkan dan meninggikan-ninggikan binaan. Setelah itu, Rasulullah S.A.W bertanya: Hai ‘Umar! Adakah engkau tahu siapa orang yang bertanya itu? Kataku: Allah dan Rasulnya yang lebih tahu. Rasulullah S.A.W berkata: Sesungguhnya itulah dia Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajarkan agama kamu. Diriwayatkan oleh Muslim.

No comments:

Post a Comment